Wednesday, October 14, 2015

something i wrote for buku akhawat oz.

 
Kisah aku mungkin biasa-biasa saja dan tidak hebat seperti mereka yang terlebih dahulu melalui manis pahit jalan cinta ini. Perjalanan tarbiyahku bermula sejak berada di tanah air lagi sewaktu pengajian ijazah di salah sebuah IPTA di ibu kota. Alhamdulillah saat itu Allah hadirkan seorang insan penyentuh hati yang menyedarkan aku akan hakikat sebenar hidup ini seizinNya.

Ummi.

Aku memanggilnya Ummi. Sungguhpun dia bukanlah ibu kandungku, seorang murobbi adalah seorang ummi, sheikhah, mu’allimah (guru) dan juga qo’id (pemimpin). Alhamdulillah. Setelah curhat dan syura yang aku yakini adalah terbaik selain istikharah, aku hari ini berada di bumi kanggaru ini untuk menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Dan harus aku katakan, juga untuk memastikan kelangsungan hidupku dalam jalan ini.

Jalan dakwah dan tarbiyah.

Jalan yang aku imani yang akan membawa sesiapa saja yang berada di atasnya untuk bertemu Allah kelak dengan wajah tersenyum. Dan kerana iman itu tak hanya di hati tetapi juga perlu dibenarkan dengan kata-kata dan amal, aku lalu mula mengorak langkah dan bertatih-tatih di medan baru ni.

Sungguh. Jalan ini tabiatnya susah, panjang dan jauh. Dan benarlah firman Allah yang Maha Agung:

Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji? Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang dusta.
(QS Al-‘Ankabut 29:2-3)

Belum diuji? Ertinya kamu belum beriman. Noktah.

Benar, ujian itu datangnya daripada pelbagai bentuk senang dan susah. Yang mahu aku kongsikan di sini adalah ujian kesusahan. Sebelum ini aku selalu merasakan Allah belum betul-betul mengujiku sepertimana akhawat lain menerima goncangan-goncangan dalam hidup mereka untuk kekal kejap di atas jalan ini. Seperti mana Umar Al-Khattab risau Allah tidak mengendahkannya ketika tidak menerima sebarang ujian, aku juga sejujurnya takut kalau aku hanya mengaku aku mahu berada dalam jalan mulia ini tetapi tidak diuji. Kalamullah yang satu ini selalu aku jadikan sebagai motivasi untuk terus beramal,

Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang telah menepati apa yang mereka janjikan kepada Allah. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan ada di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janjinya).
(QS Al-Ahzab 33:23)

Alhamdulillah. Di bumi kanggaru ini aku mula merasakan kesusahan dalam pelajaran yang belum pernah aku rasakan ketika berada di tanah air dulu. Sampai ke satu tahap yang kritikal, aku tidak mendapat keputusan peperiksaan yang baik dan harus melalui pelbagai akibat daripada itu.

Memang. Tak siapa kata mudah untuk menghadapinya. Lebih-lebih lagi itulah kali pertama dan aku pula berada di tempat asing dan di luar zon selesaku. Memikirkan harapan tinggi keluarga dan pelbagai kemungkinan yang akan diterima daripada pihak penaja pengajian, aku jadi buntu. Di saat itu, aku hanya berharap walau apa pun terjadi janganlah diri ini tercicir dan menjadi fitnah kepada jalan mulia ini.

Alhamdulillah. Di kala itu, ramai akhawat yang sungguh-sungguh datang memberikan daya tampung yang amat aku hargai. Aku tahu mereka prihatin dengan keadaanku dan moga Allah membalas kebaikan mereka. Namun, sekuat mana pun mereka berusaha untuk membantu untuk meringankan bebananku, semua itu belum dirasakan cukup.
 
Dan memang, pergantungan total kepada Allah itu sahajalah yang dapat membuka hati kita seluas-luasnya untuk menerima dengan baik qadar Allah ini. Alhamdulillah. Beberapa minggu sebelumnya aku amat mengharapkan sesuatu. Doa yang selalu aku pinta kala itu adalah supaya dikurniakan keihkhlasan.

Ya. Ikhlas.

Amat aku harapkan agar Allah merezekikan aku dengan perasaan ikhlas tatkala melakukan apa saja pekerjaan lebih-lebih lagi bila diniatkan sebagai ibadah. Dan tidak putus-putus juga aku berharap Allah merezekikan aku keikhlasan dalam menerima apa sahaja yang Dia beri.

Kerana apa?

Aku teringat salah satu babak dalam filem Hafalan Shalat Delisa (2011),

Delisa : Kenapa ya Delisa susah sekali melakukannya?
Ustad Rahman : Orang yang susah melakukan sesuatu itu, kerana hatinya tidak ikhlas.
 
Supaya mudah di hati dan juga perbuatan, penting untuk berlaku ikhlas dan juga ehsan dalam setiap perkara. Dan ikhlas yang diibaratkan sebagai semut hitam yang berada di atas batu yang hitam di malam yang kelam itu, hanya Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana yang layak menilainya. Di saat aku menulis ini, masih aku harapkan agar keihlasan itu menjadi milikku dan juga semua yang membaca.

Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah seruan Allah dan Rasul, apabila dia menyerumu kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepadamu, dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepada-Nyalah kamu akan dikumpulkan.
(QS Al-Anfal 8:24)
 
Moga kita mampu beramal, dan amal pula diterima. InsyaAllah.
 
.baitulkhalesyah
.01082014

No comments:

Post a Comment