Friday, July 14, 2017

Memaknai keikhlasan.


Apakah seorang yang ikhlas selalu mencintai apa yang dikerjakannya?

Ya. Jika mencintai itu adalah hasil daripada sebuah perjalanan, kerana sesuatu itu tak selalu bermula dengan cinta. Pada awalnya mungkin tak mudah untuk mencintai apa yang kita lakukan walaupun kita tahu itu adalah untuk kebaikan. Tapi sekali lagi, mencintai adalah hasil daripada sebuah perjalanan. Seorang yang ikhlas harus mencintai apa yang dilakukannya, bukan sekadar melakukan apa yang dicintainya.

Boleh jadi juga bagi para mukmin sejati, sepanjang hidupnya berada dalam sebuah keterpaksaan. Keterpaksaan dalam erti kata yang murni. Mereka mengikhlaskannya. Mereka berjuang untuk ikhlas semata-mata kerana apa yang mereka lakukan itu diperintah oleh Tuhan 'Azza wa Jalla.

Apakah pendirian mukmin sejati terhadap perang, contohnya? Benci. Itu jelas. Itu pasti. Tapi jika Allah yang memerintahkan, suka atau tidak, cinta atau benci akan menjadi hal yang kedua. Persoalan utama bukanlah soal cinta atau benci pada apa yang kita lakukan, tapi siapa yang telah memerintahkan.

Diwajibkan atas kalian berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kalian benci. Boleh jadi kalian membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kalian. Dan boleh jadi kalian menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kalian. Allah mengetahui, sedang kalian tidak mengetahui. (Al-Baqarah 2:216)

Para sahabat radhiallahu 'anhum adalah sekumpulan manusia sangat memaknai keikhlasan. Walau bagaimanapun, ikhlas yang mereka usahakan tidak menghilangkan rasa benci kepada perang. Benci itu harus diakui mahu atau tidak. Ikhlas tetap tidak menafikan rasa muak pada darah yang ditumpahkan dan luka yang lama akan sembuhnya.

Bagaimana pula dengan Nabi Ibrahim 'alaihissalam? Cintanya kepada anak tercinta, Nabi Ismail 'alaihissalam tidak menghilangkan taat baginda kepada perintah Allah swt. Mudahkah Ibrahim menyembelih Ismail? Tentu tidak. Cinta buat anak yang sangat disayangi menjadikan perintah Allah terasa sangat sukar dan pedih. Tapi adakah baginda tidak berbuat sesuai dengan perintah Allah? Adakah perasaan sukar menjadikan Ibrahim seorang hamba yang tidak ikhlas? Tentu tidak. Bagindalah khalilullah.

Allah Maha Mengerti. Maka tidak akan Allah jadikan cinta dan benci sebagai ukuran ikhlasnya perbuatan. Berbuatlah! Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana akan mengungkapkan segala hikmah yang ada dalam menguatkan keikhlasan kita.

Mungkin ikhlas itu permata. Berkilau kerana tiada henti diasah dengan amal bermakna walau kadangkala ada rasa tersiksa. Mungkin ikhlas itu emas. Murninya kerana dicairkan panas. Dibakar agar kerak dan noda terlepas, hingga kilauannya jelas. Mungkin ikhlas itu mutiara. Terbentuk kerana ada yang luka. Jauh di kedalaman samudera, perlu keberanian untuk meraihnya.

Sesungguhnya setiap amal bergantung kepada niatnya, dan setiap diri akan memperoleh apa yang diniatkannya. Barang siapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka dia akan mendapat Allah dan RasulNya. Barang siapa yang hijrahnya kerana dunia atau wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya adalah kepada apa yang dia niatkan untuk berhijrah.

Begitulah sabda Rasulullah saw. Kenapa tidak Rasulullah menyambung "Barang siapa yang hijrahnya kerana dunia atau wanita yang ingin dinikahinya" dengan "maka dia akan mendapat dunia atau wanita yang ingin dinikahinya"? Inilah Rasulullah pembawa rahmat, yang tidak ingin sedikit pun memutuskan harapan kita yang selalu berbuat dosa, yang selalu tersasar daripada niat yang sebenarnya. Alangkah indahnya kesempatan untuk memperbaiki diri, memperbaharui niat dan menggantikan motivasi ketika langkah permulaan kita dicemari godaan-godaan dunia. Semoga kita sentiasa dapat memperbetulkan niat kita, dan beroleh apa yang kita niatkan sebaiknya. Allahumma ameen.


[Barkly Square, 081215]

Sekian mutiara daripada akhuna fillah, Salim (2014). Semoga Allah redha.



No comments:

Post a Comment